28 Mei 2017 - 03:04
Para Tahanan Palestin Capai Persetujuan Dengan Pihak Berkuasa Rejim Israel

Pihak berkuasa Israel menerima sebuah perjanjian dengan para tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar sejak 40 hari yang lalu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak berkuasa Israel menerima sebuah perjanjian dengan para tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar sejak 40 hari yang lalu.

Perkara itu disahkan oleh ketua Jawatankuasa Palestin Berhubung Hal Ehwal Tahanan, Issa Qaraqe pada hari Sabtu.

Beberapa sumber lain turut mengatakan bahawa para tahanan telahpun menghentikan mogok mereka.

Lebih daripada 1,600 orang tahanan Palestin di penjara-penjara rejim Zionis memulakan mogok lapar tersebut sejak 17 April lalu. Mogok yang dikenali sebagai Mogok Kebebasan dan Kehormatan itu diketuai oleh Marwan Barghouti yang merupakan bekas pemimpin kumpulan Fatah.

Para peserta mogok lapar itu menuntut rejim Israel untuk menamatkan amalan penahanan pentadbiran, kurungan bersendirian dan kecuaian perubatan yang disengajakan ke atas para tahanan.

Penahanan pentadbiran adalah sebuah polisi pihak rejim yang membenarkan para tahanan Palestin ditahan di pusat tahanan tanpa sebarang pembicaraan dan pertuduhan.

Hampir 700 orang tahanan Palestin pada ketika ini ditahan di bawah polisi tersebut dan sebahagian daripada mereka telah ditahan selama 11 tahun dengan menggunakan pendekatan ini. -ABNA24

/315